Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2005

Pilihanraya Kampus…

Hmm… kepanasan pilihanraya kampus sudah mula terasa dengan hebatnya. Bukan sahaja di IPTA, malah di UTP sendiri. Penamaan calon yang akan diadakan pada pagi ini dijangkakan akan memperlihatkan bilangan calon yang bertambah, sekaligus membuktikan kesedaran politik mahasiswa UTP juga makin bertambah. Persoalannya, siapakah yang akan memenangi kerusi² umum yang ‘digilai’ ramai?

Sejarah yang lepas membuktikan bahwa kerusi umum biasanya akan direbut oleh ramai orang, disebabkan jawatan yang ditawarkan lebih menarik, iaitu Majlis Tertinggi. Manakala kerusi program hanya menawarkan jawatan exco. Apapun, sama²lah kita saksikan pertandingan yang bakal memeriahkan kampus UTP.

Saya sendiri tidak ketinggalan untuk bertanding pada pilihanraya kali ini, atas kesedaran bahawa apa yang saya perolehi sepanjang pemerintahan MPP yang lepas dan juga sepanjang memacu Convofair 2005 perlu dikongsi bersama pimpinan yang baru. Adalah sesuatu yang tidak adil; zalim sekiranya saya mengandaikan kesempatan yang Allah beri untuk saya menimba pengalaman adalah sekadar untuk disimpan seorang diri.

Menifesto saya insya-Allah; mewujudkan masyarakat glokal, ataupun istilah inggerisnya, “Glocal Society” di mana konsep ini diperkenalkan oleh Dato’ Seri Najib dalam perhimpunan agung UMNO yang lepas. Tidak bermakna saya menyokong UMNO, tetapi bagi saya, konsep masyarakat glokal ini merupakan suatu konsep yang sepatutnya wujud di mana² tempat di Malaysia. Berfikiran secara global (tidak telalu jumud) sambil tidak melupakan nilai² tempatan (iaitu local value) perlu dipupuk.

Walau bagaimanapun, kemenangan saya merupaka suatu yang tidak pasti. Sekiranya terpilih, bermakna Allah mentakdirkan saya untuk sekali lagi memimpin, sekali lagi meletakkan sebelah kaki saya dalam neraka. Kepimpinan bukan sesuatu untuk dibanggakan, untuk digilakan, tetapi ia suatu amanah yang dijanjikan dengan pahala yang besar (sekiranya amanah dijalankan dengan baik), juga dijanjikan dengan dosa yang besar (sekiranya leka dan lalai dengan amanahnya).

Akhirul kalam, doakan kemenangan mereka yang memperjuangkan kebenaran, yang memperjuangkan apa yang telah Allah wahyukan pada junjungan mulia kita Rasulullah (s.a.w.)…
Wassalam

Read Full Post »

Apakah itu kepemimpinan?

Tajuk yang ingin saya bawakan ada hubung kaitnya dengan dua post saya yang lepas, iaitu “Pemimpin; Mengajar dan diajar…”. Saya belum menerangkan mengapa saya memilih untuk membentangkan kata² Lao Tsu tersebut. Apatah lagi di permulaan blog saya.

Yang pertama, rasionalnya adalah kerana pada ketika itu baru tamatnya Pesta Konvo 2005 yang saya sendiri menjadi Ketua Pengarahnya. Selain itu pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UTP juga di sekitar waktu itu. Maka saya menggunakan kesempatan tersebut untuk menyedarkan ‘anak buah’ a.k.a AJK untuk memahamkan mereka, mengapa kadang² pemimpin ini sangat melecehkan kerana, ada ketikanya, malah selalu mereka tidak dapat melihat tujuan tindakan yang dilakukan oleh sang ketua ini.

Sebab kedua adalah kerana saya berharap dapat berkongsi kata² Lao Tsu tersebut yang saya kira sangat mendalam pengajarannya, itupun untuk mereka yang inginkan pengajaran.

Apa pengajarannya? Janganlah cepat menyalahkan pimpinan atas tindakan tertentu, tapi muhasabah diri dan cuba lihat apa rasional disebalik tindakan pimpinan itu. Jika tidak dapat mencari sendiri, ambillah inisiatif untuk bertanya. Tidak rugi bertanya untuk menjernihkan suasana. Wallahualam.

Read Full Post »

Maaf di atas ‘kehilangan’ yang agak lama. Bukan disengajakan, tetapi bebanan kerja yang menghambat, termasuk cuti yang dipenuhi perjalanan yang cukup menarik menyebabkan ketiadaan masa untuk menulis di blog ini. Pilihanraya kampus sudah semakin hampir, bukan sahaja di UTP, tetapi juga di IPTA luar. Pelbagai khabar angin hebat bergolak. Walau bagaimanapun, ini adalah dua link yang saya kira menarik. Silalah rujuk dua link dibawah yang saya petik dari blog Pakdi…

http://www.pakdi.com/blog/surat/archives/2005/09/amin_idris_berb.html

dan

http://www.pakdi.com/blog/surat/archives/2005/09/campus_election.html

Kalau mempunyai daya usaha yang lebih, anda dapat mengetahui lebih banyak kebenaran yang tersembunyi. Believe me….

Read Full Post »

Saya ingin menyambung mengenai apa yang ditulis semalam… Kepada yang belum baca, silalah rujuk post bertajuk “Pemimpin; Mengajar dan diajar…”

Pemimpin yang terbaik menurut Lao-tsu adalah yang tidak disedari kewujudan mereka. Mengapa? Bukankah lagi bagus orang sedar seseorang itu pemimpin? Menurut Lao-tsu, pemimpin sebegini tidak disedari kewujudannya kerana mereka lebih banyak ‘memerhati’ dan memberi kepercayaan kepada pengikut mereka. Sekiranya memerlukan campur tangan (bantuan), barulah pemimpin jenis ini ‘turun padang’. Bermakna, mereka inginkan pengikut mereka belajar… bukan bermakna mereka ini pemimpin yang malas dan hanya tahu mengarah itu dan ini. Dan inilah cara yang terbaik untuk melatih orang. Hands on skill…

Seterusnya Lao-tsu menyambung “pemimpin yang disanjung…”. Beliau meletakkan kedudukan sebegitu kerana beliau melihatkan bahawa pemimpin memikul, bukan sahaja tanggungjawab untuk memimpin tetapi juga tanggungjawab untuk melatih pelapis² yang layak untuk menggantikannya. Adalah suatu pembaziran sekiranya pemimpin tidak melatih generasi baru untuk turut menjadi pemimpin.

Lao-tsu juga menyebut berkenaan pemimpin yang ditakuti dan juga dibenci… Dibenci dan ditakuti juga sifat pemimpin? Bukan semua… Kita perlu memahami bahawa terdapat pelbagai gaya kepemimpinan yang berbeza yang perlu diaplikasikan mengikut situasi yang berbeza. Dan tidak dinafikan, ada pemimpin yang lebih suka menggunakan gaya yang menekan, yang akhirnya menyebabkan beliau dibenci. Walhal, matlamat beliau hanyalah untuk mendisiplinkan pengikutnya disamping melatih cara pengurusan stress. Bukan semua orang berpeluang untuk belajar mengawal tekanan. Cara yang terbaik adalah untuk merasai sendiri tekanan tersebut dan kemudian memuhasabahkan diri; mencari kelemahan kita sewaktu kita ditekan.

Yang terakhir yang disebut oleh Loa-tsu adalah;

When the best leader’s work is done, the people say,
“We did it ourselves!”

Ini menunjukkan bahawa, bila mana berakhirnya tugasan tersebut, setiap orang merasakan bahawa hasil yang diperoleh merupakan hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka berjaya merasai kebersanaan mereka dalam menentukan kejayaan tugasan tersebut. Oleh kerana usaha merekalah, tugasan itu berjaya. Dan itulah yang seorang pemimpin mahukan… Beliau mahukan pengikutnya merasakan bahawa kejayaan itu terletak pada tangan pengikutnya, bukan tangan beliau. Tugas pemimpin hanya menjadi pemerhati ataupun dalam erti kata lain, menjadi pelatih@pengajar. Sekiranya asyik nak diberikan ‘tongkat’, sampai bilapun seseorang itu tidak akan mampu untuk berdikari… Percayalah…

Mengapa saya membawa topik ini? Akan saya kupas dalam penulisan yang akan datang…

Read Full Post »

To lead people, walk beside them …
As for the best leaders, the people do not notice their existence.
The next best, the people honor and praise.
The next, the people fear;
and the next, the people hate …
When the best leader’s work is done, the people say,
“We did it ourselves!”
– Lao-tsu

Begitulah kata² pujangga daripada seorang ahli falsafah China yang terkemuka. Faham tak maksud disebalik kata²nya?

Mengapa dikatakan, “To lead people, walk beside them” bukan “walk in front of them”? Mengapa pula dikatakan pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang tidak disedari kewujudan mereka? Diikuti oleh yang disanjung dan dihormati kemudian yang ditakuti kemudian yang dibenci. Apakah benar seorang yang ditakuti mahupun dibenci itu boleh menjadi pemimpin?

Mengapakah pula kata²nya diakhiri oleh, “When the best leader’s work is done, the people say, “We did it ourselves!””? Apakah seorang pemimpin itu tidak ada sebarang sumbangan? Ataupun terlalu kecil sehingga tidak ternilai dek orang? Pelik… Tapi tersirat seribu satu kebenaran disebalik kata² Lao-tsu tersebut….

Inilah penjelasan yang menurut kefahaman akal saya yang serba kekurangan…

Yang pertama, mengapa dikatakan seorang pemimpin itu perlu berjalan ‘di sebelah’ bukan ‘di hadapan’? Sekiranya pemimpin itu berjalan di hadapan, bagaimana mungkin beliau ingin mengajar pengikutnya? Sebaliknya pengikutnya hanya mengikut apa yang dilakukan oleh pemimpin tanpa memahami mahupun mempelajari apa². Oleh sebab itulah, Lao-tsu mengatakan, pemimpin perlu jalan ‘di sebelah’ untuk mengajar sekaligus memerhati apa yang dilakukan oleh pengikutnya. Sekiranya salah, boleh dibetulkan. Bukan begitu?

to be continued….

Read Full Post »