Sudah 8 bulan saya meninggalkan alam kampus. Sudah 8 bulan juga saya seakan terpisah dengan dunia mahasiswa. Namun serasanya, tidak salah untuk saya menulis sesuatu berkaitan dengan kampus dan mahasiswa; tulisan khusus untuk menjawab posting “Adakah Demokrasi Di Utp Masih Wujud?“.
Secara jujur, saya tidak mengenali penulis blog tersebut. Jadi saya kira penulisan dan komentar ini sebagai tulisan yang neutral dan tidak memihak kepada pihak pentadbiran UTP mahupun kepada ‘pejuang demokrasi UTP’. Saya menulis berdasarkan pengalaman dan penglibatan saya dalam dalam MPPUTP selama dua tahun, serta berkecimpung dengan aktiviti pelajar selama 4 tahun.
Saya bersetuju dengan pandangan penulis tersebut iaitu pihak pentadbiran tidak sewajarnya meletakkan syarat² tertentu tanpa berbincang dengan pihak pelajar. MPP, sebagai sebuah badan pelajar tertinggi di kampus, seharusnya diajak berbincang sekali dalam isu yang memberi kesan kepada pihak pelajar sendiri.
Namun begitu, sekiranya penulis tersebut membuka rentetan ‘sirah’ MPP selama beberapa tahun sebelum ini, memang pihak pentadbiran UTP ada meminta MPP memberikan cadangan dan pandangan untuk memperbaiki system pilihan raya kampus dan juga MPP secara tak langsung. Persoalan calon merupakan antara isu utama kerana pihak pentadbiran berasa tidak senang dengan kehilangan sebahagian besar MPP untuk industrial training dan graduasi.
Logiknya, sebagai pemimpin yang dipilih oleh pihak pelajar untuk memimpin selama satu penggal, iaitu setahun, sewajarnya ahli MPP ini berkhidmat untuk setahun. Bukan separuh tahun. Kehilangan beberapa ahli MPP, apatah lagi ahli Majlis Tertinggi akan menyebabkan gerak kerja MPP sedikit tempang. Dan ini terbukti dalam penggal MPP sebelum-sebelumnya di mana kehilangan hamper 30-40% menyebabkan MPP seolah-olah ghaib dalam separuh penggal kedua. Realiti ini mungkin tidak disedari oleh pihak pelajar di UTP kerana sikap endah tak endah mereka terhadap MPP.
Perkara inilah yang menjadi kekhuatiran pihak pentadbiran UTP. Mereka telah membuka pintu perbincangan untuk mengatur garis panduan terbaik untuk calon yang ingin bertanding merebut kerusi MPP, namun apa yang saya lihat, MPP (sebelum² ini) gagal membawakan cadangan mereka dengan baik. Dan inilah yang sepatutnya dikesali.
Secara peribadi, saya sama sekali tidak bersetuju untuk ahli MPP terdiri daripada kalangan Yang Berkhidmat (YB) selama 6 bulan. Sekiranya perlu, mungkin satu atau dua ahli BERPENGALAMAN boleh dibenarkan berkhidmat untuk 6 bulan. Muka-muka baru yang hanya mampu berkhidmat enam bulan TIDAK WAJAR dibenarkan bertanding.
Relevensi membenarkan bekas MPP bertanding walaupun hanya 6 bulan di kampus adalah kerana mereka sudah punya pengalaman untuk memacu MPP di peringkat permulaan. Ketiadaan ahli berpengalaman MUNGKIN akan menyebabkan gerak kerja MPP sedikit perlahan dan menjejaskan pihak pelajar secara tidak langsung.
Untuk MUKA BARU yang hanya ada enam bulan di kampus, mereka tidak wajar dibenarkan bertanding. Untuk mendapat rentak gerak kerja MPP sudah memakan masa kira-kira tiga bulan, maka hanya tiga bulan sahaja mereka ini PRODUKTIF. Itu sekiranya mereka MAMPU belajar dalam masa tiga. Sekiranya lebih masa diperlukan, anda kiralah sendiri berapa sangatlah sisa masa yang ada untuk mereka.
Oleh itu, saya melihat bahawa tindakan pihak pentadbiran UTP ada baiknya. Namun begitu, MPP sedia ada perlu mengorak langkah BIJAK dengan mengadakan diskusi bersama dengan pihak pentadbiran untuk mendapatkan garis panduan yang lebih baik. MPP merupakan badan yang berkhidmat untuk pelajar, oleh itu, tanggungjawab kepada pelajar perlu diletakkan sebagai prioriti utama.
Tindakan seperti membenarkan pelajar yang sedang intern (dan BERPENGALAMAN) untuk bertanding boleh juga diusulkan kerana mereka akan sedia berkhidmat dalam bulan Januari. Biasanya MPP akan mula dibentuk sekitar bulan October. Kehilangan 3 bulan ini tidaklah memberikan implikasi yang besar memandangkan mereka ini adalah ahli yang sedia berpengalaman dan mampu terus berkhidmat selepas tamat intern. Kaedah ini digunapakai oleh MPP di MMU Cyberjaya.
Saya menyerahkan kepada pihak MPP sedia ada untuk menerima mahupun menolak padangan dan komentar saya. Saya juga mengharapkan MPP tidaklah menjadi badan pelajar yang berfikiran tertutup dan berpemikiran PEMBANGKANG apabila berhadapan dengan pihak pentadbiran. MPP juga perlu sedar bahawa ‘rakyat’ mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Al Fakir Ilallah,
Muhammad Firdaus Bin Azizi

Blogger insan said…
Reply to http://mkelana.wordpress.com/2008/07/11/reply-adakah-demokrasi-di-utp-masih-wujud/
Tidak dinafikan bahawa mmg ade advantage dan disadvantage jika pihak pengurusan mengetatkan syarat supaya Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif terdiri daripada mereka yang boleh berkhidmat untuk satu tahun penuh. Cuma bagi saya pihak pengurusan juga perlu matang dalam menguruskan Pilihanraya yang sepatutnya membuka ruang untuk pelajar BERPOLITIK. Tindakan yang dibuat tanpa berbincang dengan student merupakan satu tindakan yang boleh disifatkan sebagai pencabulan terhadap hak-hak demokrasi. Perlu diingat bahawa pihak pengurusan hanya bertindak sebagai SPR dalam pilihanraya. Jika kita reflect balik dari PRU 12, rakyat bangkit apabila pilihanraya tidak dapat berjalan dengan adil. SPR kelihatan membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan pandangan rakyat.
Selain itu, perlu diingat bahawa MPP dipilih untuk mewakili pelajar bukan pihak pengurusan. Sepatutnya calon-calon terdahulu yang hanya dapat berkhidmat separuh penggal perlu mengambil inisiatif untuk mencari peluang berbakti kepada student walaupun mereka sedang intern atau sebagainya kerana mereka dipilih untuk berkhidmat selama setahun seperti pulang ke universiti setiap 2 kali sebulan etc. Tapi kenapa ini tidak berlaku? Sebab mahasiswa lebih menilai politik itu dari sudut politik kekuasaan bukan naya politik nilai.
Kita susah untuk menerima sesuatu yang baru sekiranya ia melibatkan hak dan maruah kita sebagai mahasiswa. Tetapi tidak bermaksud saya tertutup dan bersifat pembangkang secara membuta tuli dan tidak langsung melihat dari sudut advantage nya cadangan pihak pengurusan. Cuma perkembangan politik di kampus itu lebih penting dan akan terbantut sekiranya syarat demi syarat dilaksanakan dan menutup ruang mahasiswa untuk beraksi dan berpencak di arena politik. Cadangan pihak pengurusan juga perlu mengambil kira suasana kampus yang menawarkan internship selama 8 bulan a.k.a satu semester.
Walaubagaimanapun, terima kasih kepada otai MPPUTP saudara musafir kelana atas cadangan beliau untuk membuka peluang untuk pelajar internship supaya boleh bertanding.
Musafir Kelana said…
Bila menyebut tentang membuka ruang kepada pelajar untuk berpolitik, serasanya tindakan ini perlu dimulakan oleh MPP sendiri. Kita perlu mengakui bahawa pelajar UTP ramai yang tidak berminat dengan politik kampus, mahupun politik di luar kampus.
Menuding jari kepada pihak pentadbiran bukanlah satu tindakan yang boleh menyelesaikan masalah. Seharusnya pihak MPP melihat kepada tindakan yang MPP sendiri boleh ambil, tanpa perlu berharap kepada pihak pentadbiran. Bagaimana untuk MPP memupuk kesedaran berpolitik? Itu saya tinggalkan kepada MPP untuk memikirkan sendiri.
Kiranya kesedaran sudah ada, saya pasti, biar bagaimana sekalipun syarat untuk calon bertanding, tidak akan ada situasi menang tanpa bertanding seperti tahun lepas. Syaratnya, MPP terlebih dahulu memupuk kesedaran itu.
Soal bekas MPP turun kembali ke kampus dan membantu MPP baru merupakan satu cadangan yang bagus. Walau bagaimanapun, inisiatif perlu diambil oleh MPP baru untuk menjemput bekas MPP ini. Samalah seperti anak murid yang ingin berguru. Bukan guru yang mencari anak murid. Sayangnya, trend sekarang (dahulu) lebih kepada meminggirkan bekas MPP yang berpengalaman. Kiranya dijemput, saya rasa bekas MPP bukan setakat sudi, malah teramat berbesar hati.
Soal kuasa bukanlah isu utama bekas MPP. Saya yakin mereka mahu membantu, namun bagaimanakah kesudian yang ingin dibantu, itulah yang perlu difikirkan.
Saya tidak mengatakan pandangan anda tertutup mahupun seperti pembangkang. Tetapi saya mengharapkan agar pihak MPP lebih kepada menggunakan ruang lingkup MPP itu terlebih dahulu kerana itu adalah dalam kawalan MPP. Soal keputusan pihak pentadbiran adalah sesuatu yang diluar kawalan dan sukar untuk dicorakkan oleh MPP.
Apapun, anggaplah apa yang dilalui ini sebagai suatu cabaran. Dan fikirkan jalan terbaik untuk memuaskan hati semua pihak, tanpa mengabaikan kepentingan pelajar. Dan paling penting, apakah benar soal calon yang muda menjejaskan kredibiliti MPP? Apakah usia memainkan peranan disebalik nilai kepemimpinan seseorang? Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Semoga berjaya!
[...] Baca baki entri ini » [...]
bg saya, ada kewajaran setiap tindakan pentadbiran sesebuah institusi.jangan kita menilai sesuatu tindakan itu tidak adil semata-mata kerana ianya tidak menyebelahi kita.bukan semua perkara perlu mendapat persetujuan MPP,sedangkan secara jujurnya,saya sendiri tidak nampak apa peranan yg dimainkan oleh MPPUTP.even, apa yang dijanjikan oleh calon2 bertanding tidak pernah diterjemahkan dgn pelaksanaan.sy masih ingat janji seorang calon utk meningkatkan tahap kelajuan capaian internet di utp,namun sehingga ke hari ini hasilnya tidak kelihatan..bukan niat saya utk menjatuhkan mana-mana pihak,tetapi inilah hakikat situasi di utp.kami undi calon bukan sekadar undi, tetapi mengharapkan kebajikan kami terjaga..apa yg berlaku,bila seseorang itu memegang jawatan sbg MPP,maka dia jugalah pemimpin kelab itu,dia juga presiden persatuan ini,dia juga HiCOm kelab itu,akhirnya…yg d kejar xdapat yg dikendong berciciran…