Orang selalu mengira bahawa nikmat itu adalah merujuk kepada yang manis-manis belaka. Jika diberi rupa yang tampan lagi menawan. Itu nikmat! Jika beroleh isteri yang solehah. Itu nikmat! Jika diberi kerja dengan imbuhan yang lumayan. Itu nikmat! Jika jatuh sakit sampai perlu dioperate. Itu bala! Benarkah begitu? Benarkah kesakitan yang di datangkan TUHAN itu bukan suatu nikmat?
Saya tertarik membicarakan soal nikmat disebalik kesakitan kerana kes ini berlaku begitu hampir dengan saya tempoh hari (dan masih sampai ke hari ini). Kebetulan, ditakdirkan ALLAH, sahabat baik saya, merangkap room-mate saya, terpaksa dioperate pada hari Rabu lepas. Dikhabarkan, meniscusnya terkoyak dek bermain badminton secara ‘ganas’. Wallahualam, saya bukanlah seorang doktor untuk mengesahkan ataupun menafikan. Hamba yang menurut perintah sahaja.
ALHAMDULILLAH, pembedahan berjalan dengan lancar, dan sahabat saya tersebut diwadkan selama 2 hari; bermakna insya-ALLAH hari Jumaat, beliau boleh didiscajkan. Bermula daripada selepas pembedahan sehinggalah ke saat sahabat saya kembali ke kampus, satu demi satu nikmat sakit itu dibentangkan di depan mata.
Sebaik tamat pembedahan, petang Rabu, 4 kereta menyusul ke Hospital Pantai Puteri untuk melawat sahabat saya yang seorang ini. Bagi saya, ini merupakan satu nikmat. Dilawati oleh sahabat-sahabat. Bukan sikit. 4 kereta beb! Udah ler dengan nak berbuka puasanya. Kelasnya. Testnya. Projeknya. Pendek kata, macam-macam hal yang perlu dicongak-congakkan tetapi mereka masih sanggup datang berziarah. Waktu berbuka, sempat lagi 5 sahabat menemankan room-mate saya ini. Hebatnya nikmat ukhuwwah fillah!
Malam pertama di wad, pasti merupakan detik yang sukar. Apatah lagi mengenangkan operation pada kawasan lutut yang menyebabkan pergerakan si sahabat ini terhad. Oleh itu, kami berpakat untuk mengatur ‘jaga’ bagi menemankan sahabat saya itu. Saya bernasib malang kerana tak dapat menemankan sahabat saya di wad kerana punya urusan kerja di kampus. 2 orang sahabat menawarkan diri. ALHAMDULILLAH, walaupun cuma bermotor, mereka sanggup meredah udara dingin lewat malam untuk ke Ipoh. Perjalanan sejauh hampir sejam dengan menaiki motor bukanlah calang-calang cabaran. Inilah juga antara nikmat sakit yang saya kagumi. Pengorbanan sahabat yang bukan mudah.
Hari Khamis, saya ber’tugas’ dari jam 12 tengah hari sampai ke 8 malam. Orang kata, bosan menjaga orang sakit di wad. Well, saya tak mampu nafikan hal tersebut. Lain orang, lain bicaranya. Saya melihat, menjaga orang sakit sebagai satu nikmat kerana saya berpeluang membaca bahan-bahan yang tak terbaca di bilik. Yelah, di wad tidak ada komputer mahupun sambungan internet. Kalau di bilik, saya mengadap komputer hampir sepanjang masa. Sekarang saya mampu berehat sambil membaca buku. Bukankah ini suatu nikmat?
Memandangkan saya menjadi ‘jaga’ merangkumi waktu solat Zohor, Asar dan Maghrib. Maka menjadi tugas saya untuk menolong sahabat saya berwudhuk. Kebetulan beliau kesukaran untuk berwudhuk sendirian. Terpaksalah saya spraykan air ke anggota tubuhnya. Untuk kaki, saya sendiri perlu meratakan air memandangkan beliau tak mampu tunduk. Walaupun tampak leceh, dan mungkin menjengkelkan bagi sesetengah orang, bagi saya, inilah satu lagi nikmat. Nikmat menolong sahabat berwudhuk. Peluang yang jarang-jarang ada.
Seusai berbuka ala kadar dan bersolat Maghrib, saya dijemput pulang oleh 2 orang sahabat dari kampus. Sebelum pulang, kami cuba mencari tongkat untuk dibeli memandangkan tongkat di hospital tersebut amatlah mahal. Pencarian kami menghampakan. Namun, ALHAMDULILLAH, kami ke Jusco dan berjaya membeli kerusi lipat untuk memudahkan sahabat saya solat di masjid.
Kami tiba ke kampus lewat jam 10 malam. Badan keletihan. Minda kelesuan. Seharian di wad menyebabkan sendiri rasa sakit. Dalam keletihan itu, saya terpaksa gagahkan diri untuk solat Isyak dan terawih. 2 orang sahabat yang semalamnya ber’jaga’, sekali lagi menawarkan diri untuk menemankan room-mate saya di hospital. Seperti semalam, mereka bertolak sekitar jam 10.45 malam dengan motor kriss mereka.
Selesai saya solat Isyak dan membersihkan diri ala kadar, saya bersiap untuk tidur. Walaupun baru jam 11.30 malam, keletihan yang mencengkam menyebabkan saya terasa sudah jam 2-3 pagi. Sebelum sempat untuk merebahkan diri, saya menerima panggilan daripada sahabat yang dalam perjalanan ke hospital. Kepalang malang nasib mereka, motor pancit di tengah jalan. Kawasan gelap gelita pula. Terpaksalah saya pergi menjadi hero mereka. Namun ALHAMDULILLAH, polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut berjaya membantu mereka.
Memandangkan kebahayaan yang menanti jika teruskan bermotor ke hospital, kami membuat keputusan untuk datang pagi keesokannya. Lebih baik seorang sakit di wad daripada 3 orang merana bersama. Apapun, room-mate saya tidaklah terlalu kesunyian malam itu. Beliau turut menerima kunjungan beberapa kereta sekitar jam 10-11 malam. Sanggup sahabat-sahabat datang pada lewat malam, selepas terawih untuk melawat room-mate saya ini. Saya terharu keseorangan. Bukankah ini juga nikmat-Nya?
Pagi Jumaat, saya bertolak agak lambat ke hospital. Keseorangan pula kerana yang lain ’syahid’ keletihan. Sebelum ke hospital, saya perlu mencari tongkat untuk digunakan apabila didiscaj. ALHAMDULILLAH klinik di kampus sudi meminjamkan tongkat dengan deposit RM50. Sekurang-kurangnya tidak perlulah membazirkan duit untuk tongkat yang hanya akan digunakan selama 6 minggu.
Sekitar tengah hari, room-mate saya berjaya di’bebas’kan dengan jaminan hospital setelah membayar bil-bil yang perlu. Kami sempat sampai ke kampus 5 minit sebelum azan Jumaat aka Zohor berkumandang. ALHAMDULILLAH, kami berjaya solat Jumaat bersama yang lain.
Setelah saya memuhasabah diri kembali. Merenung satu per satu rentetan kisah kesakitan room-mate saya, terasa kerdilnya diri ini. Setiap satu kejadian yang ALLAH hamparkan, mengandungi 1001 nikmat yang tak terjangkakan. MAHA SUCI ALLAH yang mentadbirkan seluruh alam. Apakah kita masih mahu untuk mengkufuri nikmat ILLAHI?
Benarlah bagai dikata, tak semua yang kita suka itu baik untuk kita. Dan tak semua yang kita tak suka itu tak baik untuk kita. Hanya ALLAH yang lebih tahu. Setiap yang didatangkan kepada kita, terimalah dengan redha dan berlapang dada. Look at the bright side! Kiranya diri ini sentiasa berfikiran positif, insya-ALLAH segala yang datang juga positif belaka.
Sekadar renungan buat diri yang hina ini. Semoga beroleh manfaat bersama. Maaf kerana saya tidak menyertakan nama-nama mereka yang terlibat dalam post ini atas sebab-sebab tertentu. Yang penting, nilai disebalik kisah ini yang saya hendak kongsikan.
Wallahualam…
P/s – Saya memohon maaf kerana terabaikan blog ini beberapa hari kerana menguruskan room-mate saya yang operation. Semalam pula saya diserang selsema yang menyebabkan saya terpaksa merebahkan diri di katil hampir sepanjang hari. Apapun, segalanya punya hikmah tersendiri. Terima kasih kepada yang masih setia menanti!

salam…
sungguh indah ukhwah yg diceritakan…terharu mendengar
diri ini mendoakan agar suatu hari nati dpt juga merasa apa itu kemanisan ukhwah….skang hanya theory n mengharapkan praktikalnya dimasa hadapan..
sy mendoakan sahabat anda sembuh sediakala
wassalam…
=)
[...] Read the rest of this entry » [...]