Walau bagaimanapun, bila hendak dilaksana, ada pulak yang membantah. Saya sertakan beberapa ceraian artikel, sekadar berkongsi…
Pendidikan seksualiti akan mula dilaksanakan di sekolah termasuk di peringkat prasekolah pada sesi persekolahan tahun depan dalam usaha kerajaan membantu remaja menjaga diri terhadap perlakuan jenayah seksualiti dan meningkatkan moral mereka.Beliau memberitahu, garis panduan itu mengandungi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya.
Kumpulan sasar tahap satu melibatkan kanak-kanak prasekolah, tahap dua, kanak-kanak berusia 7 hingga sembilan tahun, tahap tiga bagi awal remaja (10 hingga 12 tahun), tahap 4, remaja (13 hingga 18 tahun) dan tahap lima iaitu dewasa seperti pelajar universiti, ibu bapa dan warga emas.
(Berita penuh – Pendidikan seksualiti dilaksana mulai 2006)
Juga,
Persoalannya sekarang, adakah wajar pendidikan seksual ini dijadikan salah satu sistem dalam pendidikan sedangkan terdapat cara atau kaedah lain yang sebenarnya boleh menghindarkan dan memupuk kesedaran tentang masalah seksual pada umumnya dan secara keseluruhannya pada persoalan sosial.Sikap kita kini yang agak kurang menekankan aspek keagamaan menyebabkan kita tidak memahami serta mendalami bahawa agama dapat menghindarkan segala permasalahan sosial yang ada. Saluran pendidikan adalah saluran yang begitu efektif sekali jika ia bermula dari peringkat bawahan. Jika sistem pendidikan seksual ini diaplikasikan, saya yakin ia tidak akan menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya aspek-aspek kefahaman tentang keagamaan tidak diterapkan.
(Artikel penuh – Pendidikan seksual bukan penyelesai masalah sosial)
Juga,
Sebagai orang Islam kita perlu menjaga sifat malu lebih-lebih lagi di dalam bilik darjah di mana terdapatnya percampuran di antara pelajar lelaki dan perempuan.“Dengan adanya pendidikan seks secara terbuka ditakuti akan menggalakan perbuatan maksiat di kalangan umat Islam,” kata beliau. Kata Kamarudin, kerajaan sepatutnya meminta pandangan daripada berbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ulamak terlebih dahulu sebelum perkara tersebut dilaksanakan.
(Berita penuh – Pemuda PAS Melaka bantah pendidikan seks di sekolah)
Jadi, apa pandangan anda? Bagi saya, pendidikan seks ada kewajarannya, dan ada juga kelemahannya . Apapun, rasanya alim ulama lebih berhak membicara soal ini. Saya sekadar melontarkan pandangan. Tak wajib betul, harus salah. Wallahualam…
[...] lagi sudah ada orang tulis. Klik sini atau sini. Ada juga yg nak menulis dalam blog mereka seperti ini dan yang terbaru sila rujuk laman ini. Ada banyak lagi malah sebuah laman khas yang banyak [...]
Tempat yang paling baik untuk memberikan pendedahan kepada pendidikan seks ialah di sekolah dan universiti kerana hampir semua kanak-kanak dan remaja di negara ini akan melalui sistem persekolahan dan sistem pengajian pendidikan.
Sehubungan dengan itu pendidikan seks boleh dijalankan melalui pendidikan formal di sekolah dan universiti. Samada kita sedar atau tidak, di dalam Islam pendidikan seks berlaku secara tidak formal di rumah dan secara tidak langsung. Adalah tidak benar jika ada orang mengatakan bahawa ibubapa tidak mengajar atau berbincang mengenai seks di rumah, kkhususnya dari keluarga Muslim.
Sebagai contoh di dalam Islam, rumah keluarga Muslim mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 3 bilik, satu untuk ibubapa, satu untuk anak-anak lelaki, dan satu untuk anak perempuan. Ini menunjukkan betapa Islam sudah memupuk kefahaman dan keprihatinan terhadap maksud perbezaan jantina dan implikasi perbezaan jantina atau seks.
Contoh seterusnya, konotasi seks ini boleh dilihat dengan sah atau batalnya wuduk atau air sembahyang antara lelaki dan perempuan; tahap akil baligh lelaki dan perempuan; aurat lelaki dan perempuan; pakaian lelaki dan perempuan; batas-batas pegaulan lelaki dan perempuan, sentuhan lelaki dan perempuan, mengkafan lelaki dan perempuan dan seumpamanya. Semuanya berlaku dari awal kelahiran hinggalah kepada kematian.
Apa yang tidak dibincangkan secara terang-terangan di rumah ialah hubungan seks. Maklumat mengenai pendidikan hubungan seks ini biasanya dibicarakan di kuliah di masjid, surau dan kursus-kursus yang dianjurkan oloh pelbagai pihak di kalangan orang Islam. Di dalam sesi muzakarah ilmu mengenai hubungan seks ini, terdapat panduan mengenai cara mengadakan hubungan seks, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. serta keterangan dari para ulama’. Di dalam Islam, soal hubungan seks dibicarakan dengan jelas untuk orang dewasa. Kita tidak pasti apakah di dalam ajaran agama lain terdapat pendidikan seks dan pendidikan hubangan seks untuk penganutnya.
Di dalam pendidikan formal di sekolah, pendidikan seks sudah pun berjalan secara tidak langsung iaitu melalui subjek sains dari peringkat rendah hingga menengah. Di sekolah rendah, pelajar belajar mengenai proses reproduksi pokok dan haiwan serta sedikit di sentuh melalui manusia. Manakala di peringkat menengah pula, pendidikan seks berlaku secara formal tetapi secara tidak langsung dalam subjek sains iaitu proses kejadian manusia, melalui hubungan seks yang mencantumkan benih lelaki dan perempuan.
Malangnya subjek sains ini tidak membicarakan tentang akhlak atau moral dalam hubungan seks. Ia tidak mengajar mengenai keburukan seks di luar tabii. Ia tidak mengajar seks tidak sihat yang membawa penyakit kepada penyakit kelamin dan/atau kandungan anak luar nikah yang membawa kepada kes buang anak. Subjek sains ini tidak membicarakan punca-punca kepada seks tidak sihat dan langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi membendung kegiatan seks liar. Inilah kelemahan kurikulum pendidikan kebangsaan yang tidak mengintergrasikan akhlak dalam pelajaran sains atau input sains social dalam pelajaran sains.
Di sinilah peranan intititusi NGO, badan-badan agama dan sosial untuk mendidik rakyat mengenai hubungan seks bagi menutup lompang dalam pendidikan mengenai seks dalam negara kita. Pendidikan seks di sekolah yang sedang berjalan hari ini secara tidak langsung boleh diperbaiki.
Nota: ini adalah sebahagian dari kandungan buku saya yang akan diterbitkan ahkir tahun ini.